Tuesday, February 15, 2011

Wayne Rooney bicycle kick goal against Manchester City (12/2/11)


LONDON - Wayne Rooney berkata, jaringannya pada perlawanan menentang jiran tetangga Manchester City kelmarin adalah yang terbaik.

Pengurus Manchester United, Alex Ferguson pula menyifatkan pemain itu adalah penyerang terhebat yang pernah dilihat di Old Trafford.

Kecemerlangan Rooney menenggelamkan semua masalah yang membelenggu pemain itu pada musim ini apabila menjaringkan gol penyelamat buat United ketika menentang City, kelmarin.

Pada perlawanan kelmarin, penyerang England itu berusaha sedaya upaya untuk mendapatkan jaringan pada minit ke-78 sekali gus memberi kemenangan 2-1 kepada United untuk menewaskan City yang juga pesaing terdekatnya.

''Saya dapat lihat peluang untuk menjaring gol dan terus memanfaatkan peluang tersebut,'' kata Rooney.

Aksi akrobatik Rooney kelmarin membuatkan penjaga gol City, Joe Hart tergamam seketika.

Dalam pada itu, pemain pertahanan United, Rio Ferdinand yang tidak dapat beraksi kerana kecederaan turut berkongsi kegembiraannya dalam laman sosial Twitter

''Wow... lihatlah jaringan daripada Rooney untuk mendapatkan kemenangan. Sepakan gaya kayuhan basikal Rooney itu sungguh mengagumkan,'' tulis Ferdinand.

Sementara itu, Ferguson berkata, prestasi yang dipamerkan oleh penyerang itu mengingatkannya kepada bekas pemain handalan United, Denis Law yang menjaringkan 171 gol sepanjang karier bersama kelab tersebut.

''Itu adalah aksi luar biasa daripada Rooney dan kita berjaya mendapatkan gol yang cukup mengagumkan serta jarang dapat dilihat.

''Walaupun gol yang dijaringkan oleh Nani adalah jaringan yang tidak diduga, namun gol Rooney tetap dianggap terbaik kerana memberi kemenangan kepada pasukan,'' kata Ferguson.

Gol pertama United dijaringkan oleh Nani pada minit ke-41 sebelum pemain City David Silva berupaya menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-65.

Beberapa percubaan dilakukan pada babak kedua perlawanan oleh kedua-dua pasukan sebelum Rooney memecah kebuntuan untuk memberikan kemenangan bergaya kepada United.

Ketika ini United terus berada di puncak liga dengan 57 mata melalui 26 perlawanan yang telah berlangsung, tempat kedua milik Arsenal dengan 53 mata manakala City di tangga ketiga ketinggalan lapan mata daripada pendahulu liga musim ini. - Agensi

Thursday, February 10, 2011

Adakah Cristiana Ronaldo Tenggelam?

LONDON - Lionel Messi memenangi perhitungan peribadi dengan musuh ketatnya, Cristiano Ronaldo apabila mencipta gerakan untuk gol pertama dan menjaringkan gol kemenangan ketika Argentina mengalahkan Portugal 2-1 dalam perlawanan persahabatan penuh dramatik di Geneva, semalam. 

Pemain Terbaik Dunia FIFA dua tahun berturut-turut itu menyempurnakan penalti seminit sebelum tamat permainan untuk memastikan kemenangan milik Argentina, pada ketika Ronaldo, Pemain Terbaik Dunia 2008 terpaksa meninggalkan padang sebagai kapten pasukan yang kalah, biarpun turut meledak gol buat Portugal di minit ke-21.

Messi mempamer keunggulan lariannya pada minit ke-14, dengan membawa bola ke sayap kanan, sebelum menewaskan pemain Portugal, Raul Meireles untuk menghantar bola kepada Di Maria, yang kemudian meledakkan gol pembukaan Argentina. 

Portugal bertindak balas dengan menyamakan kedudukan, tujuh minit kemudian menerusi tindakan pantas Ronaldo menewaskan penjaga gol, Sergio Romero, malangnya ketika saingan hampir berakhir Argentina dihadiahkan penalti selepas Coentrao mengkasari Juan Manuel Martinez.
Ronaldo, 26, menegaskan perlawanan semalam bukan perhitungan peribadi di antara dia dan Messi, sambil mengakui, Portugal tidak wajar kalah selepas menunjukkan satu permainan menarik. 

"Saya puas hati dengan cara saya dan pasukan bermain, saya menjaringkan satu gol dan beroleh beberapa peluang menambah jaringan. Begitupun saya ingin menegaskan, ini bukanlah perhitungan peribadi di antara saya dan Messi. "Portugal agak malang kerana kalah dalam perlawanan hari ini, tetapi itu sama sekali tidak bermakna bahawa Argentina lebih baik daripada kami,'' tegas bintang sayap Real Madrid itu. 

Sementara itu dalam satu lagi perlawanan tumpuan, juara dunia, Sepanyol mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Colombia, berterima kasih kepada jaringan lewat David Silva di Madrid.
Kemenangan itu mengakhiri persembahan hambar juara dunia itu yang kalah 4-1 kepada Argentina dan kecundang 4-0 kepada Portugal dalam persahabatan terdahulu. Silva yang dibawa masuk sebagai gantian, menjaringkan gol dari jarak dekat pada minit ke-86.

Rusia yang masih meraikan kejayaan meraih hak pusingan akhir Piala Dunia 2018, dikejutkan dengan kekalahan 1-0 kepada gergasi Asia, Iran di Abu Dhabi dengan Mohammad Reza Khalatbari dibuang padang kerana membuka baju ketika meraikan gol kemenangan minit terakhir mereka. - ReuterS

Tuesday, February 8, 2011

Gaji Lumayan Pemain Bola Sepak


Nicklas Bendtner
mendakwa pemain bola sepak berhak mendapat gaji lumayan kerana kemasyhuran itu terlalu mahal harganya.
Penyerang Arsenal itu berpisah dengan tunangnya dari Denmark, Caroline Luel-Brockdorf hanya tujuh minggu selepas tunangnya itu melahirkan cahaya mata sulung.

Ia menyebabkan Bendtner, yang menerima gaji STG50,000 (RM245,000) seminggu menjadi tumpuan ramai di Denmark menjelang perlawanan persahabatan mereka menentang England di Copenhagen hari ini.
Bendtner berkata pemain bola sepak masa kini patut dibandingkan dengan bintang filem apabila berbicara mengenai gaji kerana kedua-duanya berada dalam perniagaan hiburan.

Bintang Piala Dunia Denmark itu berkata: "Saya berada dalam perniagaan bola sepak dan di peringkat tertinggi, kerana Arsenal mempamerkan bola sepak kelas pertama yang menghiburkan. Jadi adalah salah membandingkan gaji saya dengan ahli perniagaan, sebaliknya bandingkan dengan aktor filem.

"Saya pasti berbohong, jika saya berkata saya tidak menikmati wang yang saya raih dalam bola sepak. Saya fikir kami menghabiskan banyak masa, tenaga dan tumpuan terhadap karier bola sepak kami, kerana apabila kami tidak berlatih atau bermain, kami masih hidup untuk bola sepak.

"Adalah tidak salah bertanya sama ada pemain memang berhak untuk mendapat wang yang banyak dan bertanya sama ada kami menerima terlalu banyak.

"Saya percaya kami perlu berbaloi dengan gaji kami kerana itulah mekanisma kemasyarakatan. Selagi saya bekerja keras sedaya mungkin, saya percaya saya berbaloi dengan apa yang saya dapat.
"Ada harga juga yang perlu dibayar bagi kami pemain, dan secara peribadi, saya fikir harga yang besar perlu dibayar dengan badan saya, masa saya dan tiadanya privasi apabila saya keluar dan dikelilingi orang lain.

"Jangan silap faham, saya tidak merungut mengenainya. Ia satu kebiasaan bagi seorang pemain bola sepak profesional, tapi pastinya ada harga yang perlu dibayar, sebagai contoh, anda tidak boleh keluar sewenang-wenangnya makan di sebuah restoran dengan teman wanita anda tanpa ada orang yang mengejar anda."
Bendtner enggan menceritakan mengenai kegagalan cintanya dan berkata: "Saya tidak pernah memberi ulasan mengenai desas-desus di majalah mengenai kehidupan peribadi saya. Pastinya saya tidak bercadang melakukannya, sekarang."
Bendtner sudah kehilangan tempatnya dalam kesebelasan utama di Arsenal dan mengakui kecuali dia lebih kerap bermain, dia terpaksa mempertimbangkan mengenai masa depannya pada musim panas ini.

"Saya gembira untuk menjadi seorang pemain Arsenal, tapi pastinya saya perlu bermain lebih banyak perlawanan. Saya sudah cukup bagus untuk berada dalam kesebelasan utama.

"Saya akan bermain musim ini hingga ke penghujungnya dan kemudian membuat keputusan pada musim panas. Jika saya masih gembira maka saya akan kekal, sebaliknya kita perlu lihat apa yang akan berlaku. (Sumber: Harian Metro)

Thursday, February 3, 2011

Kegemilangan Arsenal dan Jaringan-Jaringan Gol


Kegemilangan Arsenal memang tidak dapat disangkal dengan jaringan-jaringan gol berbisa daripada pemain-pemain berkaliber...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...