Thursday, February 10, 2011

Adakah Cristiana Ronaldo Tenggelam?

LONDON - Lionel Messi memenangi perhitungan peribadi dengan musuh ketatnya, Cristiano Ronaldo apabila mencipta gerakan untuk gol pertama dan menjaringkan gol kemenangan ketika Argentina mengalahkan Portugal 2-1 dalam perlawanan persahabatan penuh dramatik di Geneva, semalam. 

Pemain Terbaik Dunia FIFA dua tahun berturut-turut itu menyempurnakan penalti seminit sebelum tamat permainan untuk memastikan kemenangan milik Argentina, pada ketika Ronaldo, Pemain Terbaik Dunia 2008 terpaksa meninggalkan padang sebagai kapten pasukan yang kalah, biarpun turut meledak gol buat Portugal di minit ke-21.

Messi mempamer keunggulan lariannya pada minit ke-14, dengan membawa bola ke sayap kanan, sebelum menewaskan pemain Portugal, Raul Meireles untuk menghantar bola kepada Di Maria, yang kemudian meledakkan gol pembukaan Argentina. 

Portugal bertindak balas dengan menyamakan kedudukan, tujuh minit kemudian menerusi tindakan pantas Ronaldo menewaskan penjaga gol, Sergio Romero, malangnya ketika saingan hampir berakhir Argentina dihadiahkan penalti selepas Coentrao mengkasari Juan Manuel Martinez.
Ronaldo, 26, menegaskan perlawanan semalam bukan perhitungan peribadi di antara dia dan Messi, sambil mengakui, Portugal tidak wajar kalah selepas menunjukkan satu permainan menarik. 

"Saya puas hati dengan cara saya dan pasukan bermain, saya menjaringkan satu gol dan beroleh beberapa peluang menambah jaringan. Begitupun saya ingin menegaskan, ini bukanlah perhitungan peribadi di antara saya dan Messi. "Portugal agak malang kerana kalah dalam perlawanan hari ini, tetapi itu sama sekali tidak bermakna bahawa Argentina lebih baik daripada kami,'' tegas bintang sayap Real Madrid itu. 

Sementara itu dalam satu lagi perlawanan tumpuan, juara dunia, Sepanyol mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Colombia, berterima kasih kepada jaringan lewat David Silva di Madrid.
Kemenangan itu mengakhiri persembahan hambar juara dunia itu yang kalah 4-1 kepada Argentina dan kecundang 4-0 kepada Portugal dalam persahabatan terdahulu. Silva yang dibawa masuk sebagai gantian, menjaringkan gol dari jarak dekat pada minit ke-86.

Rusia yang masih meraikan kejayaan meraih hak pusingan akhir Piala Dunia 2018, dikejutkan dengan kekalahan 1-0 kepada gergasi Asia, Iran di Abu Dhabi dengan Mohammad Reza Khalatbari dibuang padang kerana membuka baju ketika meraikan gol kemenangan minit terakhir mereka. - ReuterS

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...